Pages

::Pembaca Setia::

Discover what healthy living is all about :)

Memaparkan catatan dengan label perkongsian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perkongsian. Papar semua catatan

Jumaat, 5 Mac 2010

pause



Lama sungguh blog ini tidak terusik.Dek kerana penulis sekarang sedang sibuk dengan kehidupan sebagai pelajar tahun 3 di UTP.Tak dapat dinafikan, tahun 3 ini lebih sibuk berbanding tahun-tahun yang sebelumnya. Mungkin penulis akan jarang meng'update' blog selepas ini.Tapi, untuk perkongsian-perkongsian yang berguna, sila ke facebook saya. Di sana banyak link-link berguna yang dapat saya kongsikan. Lebih mudah dan pantas.

Terimalah bingkisan daripada saya sebelum mengundurkan diri.

Dipetik dari blog Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

......

Lazimnya, saya tidak suka berkongsi tips. Malah saya sering berkata, untuk menilai satu-satu ceramah itu berasas atau tidak, lihatlah kepada tips. Jika ceramahnya penuh tips, maka ia adalah kosong tidak bermakna.

Tips adalah buah. Manusia memang perlu kepada buah. Tetapi kita lebih membantu jika yang diberi adalah pokok yang menghasilkan buah.

Tips tidak mungkin dapat dilakukan, jika pokok dan akarnya tiada.


PETUA SENYUM UNTUK BAHAGIA

Mahu hidup bahagia, senyum setiap pagi.

Apakah manusia mampu senyum tanpa sebab?

Apakah manusia boleh melemparkan senyuman sejati jika tujuan senyumnya tidak dapat dikenal pasti.

Maka jika seseorang itu benar-benar mahu membahagiakan kehidupan seseorang, bantulah ia agar tersenyum sendiri. Senyum dari hati, yang bukan dibuat-buat tanpa erti.

Tetapi hari ini saya ingin berkongsi petua. Petua yang diajar oleh guru-guru saya di Fitrah Perkasa. Petua ini petua segera, untuk cepat mengecap bahagia.

Namanya “Ingat 2 Lupa 2″

INGAT 1

Ingatlah kebaikan orang kepada kita.

Setiap kebaikan yang orang lakukan kepada kita, ingat-ingatkan selalu. Ia menerbitkan rasa betapa bertuahnya diri sering menerima kebaikan itu. Namun dalam banyak-banyak pihak yang memberikan kebaikan, ingatlah kebaikan Pihak yang paling berjasa kepada kita iaitulah ALLAH.

Hitunglah betapa baiknya Allah kepada kita.

Jika setiap hari kita balik bekerja, ada sejambak bunga di muka pintu, tidak teringinkah kita untuk kenal siapa pengirimnya? Tidak mahukah kita mengucapkan terima kasih kepadanya?

Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang penyayang, isteri yang baik hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk mata dan hati, tidak teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu kepada kehidupan ini?

LUPA 1

Di samping mengingati kebaikan orang kepada kita, lupa-lupakanlah kebaikan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa. Jangan diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut. Apatah lagi dengan tujuan mahu menyakiti.

“Hmm, kalau tidak kerana aku, tak berkubah masjid ini!” kata si sombong.

“Kan dulu aku pernah tolong engkau. Sekarang tibalah giliran untuk engkau menolong aku”, ungkit si dia.


Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. (Al-Baqarah: 264)

Dan jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya.

Segala-galanya terlalu halus, remeh dan kecil, jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang pernah dikurniakan-Nya kepada diri ini.

INGAT 2

Setelah bercakap tentang kebaikan, ada seperkara yang perlu diingat selalu.

Ingat-ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada manusia. Kenang selalu kesilapan kita pada tutur kata dan tingkah laku, jangan mudah dipadam dan dibiarkan pergi tanpa ada pelajaran yang diambil darinya.

Kenangkan ia, ingatkan selalu.

Bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.

Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa, dosa dan kejahatan kita terhadap Allah itulah yang paling melata, setiap detik dan masa.

Istighfar selalu… kenang-kenangkan salah kita kepada Dia.

Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya ialah apabila tiada rasa berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada-Nya, dek satu ujian yang ditimpakan-Nya ke atas kita.

Ingat-ingatlah kekurangan diri ini, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini, bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.

LUPA 2

Manakala keburukan dan kesalahan orang kepada kita, lupa-lupakanlah ia.

Manusia yang paling tidak bahagia ialah manusia yang gagal memaafkan kesalahan orang terhadapnya. Berdendam siang dan malam, memikul beban sepanjang masa.

Orang yang dimarahi sudah pun menyambung hidup gembira hati, kita yang gagal memaafkan dia, terus terseksa mengheret dirinya ke dalam diri, ke sudut mana sekali pun kita pergi.

Deritanya hidup jika gagal memberi maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita.

MENGAPA PERLU MEMBERI MAAF

Mengapa harus kita segera menjadi pemaaf?

Kerana kitalah hamba yang mendambakan maaf dan ampun dari-Nya.

Kita hamba yang tak punya apa, sering berlaku dosa dan kurang pula tunduk taatnya. Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita.

Oh Allah, sebelum kulelapkan mata ini, ku maafkan isteriku atas kesilapan dan kekurangan dirinya. Ku maafkan setiap salah dan silap anak-anakku dan ahli keluargaku. Ku maafkan setiap manusia yang berkata buruk di depan dan di belakangku.

Semata-mata kerana aku dambakan ampunan-Mu.

Siapa aku untuk berdendam sesama hamba, kerana al-Muntaqim, hanyalah Engkau, Tuhan Yang Esa lagi Perkasa.

Maafkan aku, hamba yang berdosa.

Moga ada sinar bahagia, di hari muka.

...

Sungguh, aku sangat menghargai setiap detik kehidupan yang dilalui kini. Syukur padaMu Ya Allah!

Meski hidup ini sering diulit kepayahan, masih ada secebis kemanisannya.
Barulah kusedar nikmatnya suatu ujian.
Alhamdulillah.

OPTIMIS, insyaAllah.


P/S: Saya akan meng'update' blog jika ada kelapangan kelak.insyaAllah.Doakan agar segala urusan saya dipermudahkan oleh Allah.

Rabu, 30 Disember 2009

Tidak mahu bertudung kerana takut hipokrit?

Buat pembaca sekalian,semoga artikel ini memberikan manfaat kepada anda semua.InsyaAllah.
Selamat membaca.

Artikel di bawah dipetik daripada www.zaharuddin.net.

.....

SOALAN

Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.

Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).

Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.

Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.

Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.

Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.

Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...


JAWAPAN

Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-

1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh.

Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-

Aurat wanita apa sudah jadi?
Wanita, aurat dan Kerjaya


Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.

Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.

Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.

Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.

Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.

Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).

Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.

Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.

Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.

Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.

Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.

Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.

Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.



2)MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.

Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum

Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung.

Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.

Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.

Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.

Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'

Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.

Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha

Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.

Sabda Nabi :-

خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..

Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)



3)WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.

Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.

Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.

Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.

Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama, saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :

Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.

Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.

Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan iaitu seksi.

Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.

Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.



4)BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH?

Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.

Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.

Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.

Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Isnin, 9 Mac 2009

Bertambah dan Berkurang

Iman seseorang mukmin itu sentiasa bertambah dan berkurang...

Ya.
Meski pendirian kita tegas pada awalnya,namun ada ketikanya goyah juga.

Ada ketika kita berasa dekat dengan Allah.
Ada ketika terasa sangat jauh.

Bukan kerana Allah yang menjauhi kita,tapi kerana kita yang semakin jauh dariNya.
Kerana iman kita berkurang ketika itu.
Mungkin kerana faktor persekitaran.
Mungkin kerana faktor kekosongan jiwa.

Benar.
Jiwa yang kosong dari mengingati Allah,tak lain tak bukan akan diisi oleh syaitan.
Syaitan yang mengganggu jiwa,merosak,memusnah.
Lantas kita melakukan dosa,maksiat yang pada hakikatnya kita tahu yang kita sedang melakukan dosa.

Astaghfirullah...

Diri ini seringkali berjanji padaMu...
Tapi diri ini juga yang memungkiriNya...
Diri ini kerdil..
Diri ini kotor...

Ingin diri ini berubah..
Namun diri ini tergoda juga dengan anasir syaitan durja..
Ampunkan diri ini..
Ampunkan diri ini..
Ampunkan diri ini..


Iman ini,tak dinafikan seringkali turun dan naik.
Namun kita boleh mengawalnya.
Ingatlah Allah.
Ingatlah Allah.
Ingatlah Allah.

Berapa kali kita berzikir kepadaNya dalam sehari?
Mungkin boleh kira dengan jari.
Sedangkan rumput2,haiwan2, dan hidupan ciptaanNya yang lain tak putus-putus berzikir mengingatiNya.
Dan berselawat keatas Rasulullah s.a.w.

Seringkali terpacul dari mulut kita;

"Aku pelik dengan dia tu,dulu janji tak nak mesej dengan aku dah,sekali buat lagi.Aku pelik."

"Aku pelik dengan minah tu.Dulu pakai tudung labuh,sekarang pakai baju ketat,bukan tu aje,tudung da makin pendek,stokin da tinggal,sarung lengan apatah lagi!"

"Aku pelik dengan dia tu.Teruk la dia tu.Kata nak berubah.Tapi tak berubah juga.Kata nak jadi baik.Tapi tak jadi baik jugak.Kata dah insaf.Tapi macam takde gaya insafnya.Langsung tade.Hampeh."

"Aku pelik dengan dia tu.Dulu kata kat orang lain,bla3...sekali dia dok 'couple' ngn minah tu.Ape kejadah!Muka je baik.Hati busuk!"

"Aku pelik....."



Benar.
Tapi ingat,iman bertambah dan berkurang.
Semua orang,tak terkecuali.

Tapi,kita sering melihat keburukan orang.
Tak sedar salah sendiri.
Kadang-kadang kita rasa kitalah yang terbaik!
Kita terhebat!
Kita perlekeh orang lain.

Tapi tak sedar.
Kita juga tak terkecuali.
Kitalah yang lebih teruk sebenarnya.

Seharusnya kita persoalkan sebegini;

"Aku pelik dengan diri aku ni.Aku selalu nasihat orang.Tapi aku buat jugak benda yang salah tu.Aku tahu benda tu dosa.Tapi aku buat jugak.Orang nampak aku baik,tapi aku sebenarnya penuh dengan lumpur hina.AKu berdosa,aku berdosa,aku berdosa!!"

Dan tak terhenti di situ.
Setelah sedar dari silap,kembalilah bertaubat.
Pintu taubatNya sentiasa terbuka...

Astaghfirullah al azim...

"Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah.Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati."
Surah al-Mulk,ayat 13.



Kita kata kita cinta Rasulullah s.a.w.
Sedangkan bila nama baginda disebut,mulut ini terasa sungguh berat untuk berselawat kepada baginda.
Berat sungguh.
Berat sungguh.

Selawat ke atas baginda Rasulullah s.a.w.

Isnin, 23 Februari 2009

.::Untuk insan-insan yang disayangi::.

Surat ini kutujukan untuk hatiku dan hati sahabat-sahabat tercintaku yang kerap kali terisi oleh cinta selain dariNya, yang mudah sekali terlena oleh indahnya dunia, yang terkadang melakukan segalanya bukan keranaNya, lalu di ruang hatinya yang kelam merasa senang jika dilihat dan dipuji orang, entah di mana keikhlasannya. Maka saat merasakan kekecewaan dan kelelahan kerana perkara yang dilakukan tidak sepenuhnya berlandaskan keikhlasan, padahal Allah tidak pernah menanyakan hasil. Dia akan melihat kesungguhan dalam berproses.

Surat ini kutujukan pula untuk jiwaku serta jiwa sahabat-sahabat tercintaku yang mulai lelah menapaki jalanNya ketika seringkali mengeluh, merasa dibebani bahkan terpaksa untuk menjalankan tugas yang sangat mulia. Padahal tiada kesakitan, kelelahan serta kepayahan yang dirasakan oleh seorang hamba melainkan Allah akan mengampuni dosa-dosanya.

Surat ini kutujukan untuk ruh-ku dan ruh sahabat-sahabat tercintaku yang mulai terkikis oleh dunia yang menipu, serta membiarkan fitrahnya tertutup
oleh maksiat yang dinikmati, lalu dimanakah kejujuran diletakkan? Dan kini terabailah sudah nurani yang bersih, saat ibadah hanyalah sebagai rutin belaka, saat jasmani dan fikiran disibukkan oleh dunia, saat wajah menampakkan kebahagiaan yang penuh kepalsuan.

Cuba lihat disana!
Hatimu menangis dan meranakah?


Surat ini kutujukan untuk diriku dan diri sahabat-sahabat tercintaku yang sombong, yang terkadang bangga pada dirinya sendiri. Sungguh tiada satupun yang membuat kita lebih di hadapanNya selain ketakwaan. Padahal kita menyedari bahawa tiap-tiap jiwa akan merasakan mati, namun kita masih bergulat terus dengan kefanaan.

Surat ini kutujukan untuk hatiku dan hati sahabat-sahabat tercintaku yang mulai mati, saat tiada getar ketika asma' Allah disebut, saat tiada sesal ketika kebaikan berlalu begitu sahaja, saat tiada rasa takut padaNya ketika maksiat dilakukan, dan tiada merasa berdosa ketika menzalimi diri sendiri dan orang lain.

Akhirnya surat ini kutujukan untuk jiwa yang masih memiliki cahaya meskipun sedikit, jangan biarkan cahaya itu padam. Maka terus kumpulkan cahaya itu hingga ia dapat menerangi wajah-wajah di sekeliling, memberikan keindahan Islam yang sesungguhnya hanya dengan kekuatan dariNya.

" Ya..Allah yang Maha membolak-balikkan hati, tetapkan hati ini pada agamaMu, pada taat kepadaMu dan dakwah di jalanMu "

Wallahualam bisshawab.

(Dipetik dari emel yang dihantar oleh seorang sahabat.)

Petikan asal dari laman web halaqahonline.com